Jumpa Bom di Kuala Pontian

Thursday, February 5, 2009

KUALA PONTIAN – Seorang lelaki yang sedang asyik melakukan kerja-kerja menebas di kawasan belukar berhampiran Pantai Kuala Pontian, di sini, terkejut apabila menjumpai sebutir bom yang dipercayai digunakan semasa peninggalan Perang Dunia Kedua.

Image Hosted by UploadHouse.com

Mohd Taha Mohamad, 49, berkata, perkara itu disedarinya apabila dia menebas kawasan belukar itu yang kelihatan bersemak, selain membantu seorang rakannya yang mahu membina sebuah kandang kerbau.

Menurutnya, lokasi bom itu dijumpai itu terletak kira-kira satu kilometer berhampiran dengan kawasan rumahnya menyebabkan dia khuatir jika sebarang letupan boleh berlaku setelah kerja membersihkan kawasan dilakukan.

“Saya beritahu kepada dia (pemilik kandang kerbau) supaya berhati-hati dan jangan lakukan kerja pembakaran kerana saya baru saja terjumpa bom yang berkemungkinan masih aktif,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Taha berkata, bom yang dijumpai itu berwarna aluminium itu dipercayai dihanyutkan air laut semasa musim tengkujuh bulan Disember lalu.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terjumpa apa-apa semasa melalui kawasan ini, tapi pada hari itu (kelmarin) saya ternampak satu objek panjang dan saya amati betul-betul dan membuat andaian bahawa ia adalah bom,” katanya.

Beliau berkata, dia tidak menyangka bom yang dijumpai itu berusia puluhan tahun lamanya dan difahamkan ia berkemungkinan bom yang digunakan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

“Polis ada maklum kepada saya bom itu mungkin digunakan pada zaman Jepun dan saya terkejut apabila diberitahu ia juga mungkin aktif dan kawasan itu ditanda dengan tali sebagai kawasan larangan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak diceritakan kepada sesiapa kerana bimbang sekiranya ada pihak tertentu yang mendekati lokasi itu kerana dia difahamkan bom terbabit berkemungkinan masih aktif.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Polis, Johari Jahaya berkata, bom itu dijumpai oleh seorang penduduk di kawasan belukar berhampiran Pantai Kuala Pontian Rompin.

Menurutnya, lokasi penemuan itu dijumpai lebih kurang 100 meter daripada gigi air dan ia terlindung daripada ranting kayu dan dahan pokok.

“Bom itu mempunyai warna aluminium dengan berat lebih kurang satu kilogram dengan ukur lilit 24 sentimeter dan panjangnya pula lebih kurang 57 sentimeter,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Johari berkata, bom itu dimusnahkan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, pada jam 12.30 tengah hari, semalam.

Beliau turut menasihati orang ramai yang menjumpai objek meragukan seperti itu segera menghubungi balai polis berdekatan untuk disiasat dan dikenal pasti bagi tujuan keselamatan.

- ehsan Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
 
Orkes Gambos Penambang Muar 01 S Radziah -...

This mp3 found @ weblagu.com
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright © Permata Wangi