Tudung antara aurat dan fesyen

Friday, May 22, 2009



SEBAGAI orang Islam kita bangga melihat semakin ramai kaum wanita memakai jilbab atau tudung menutupi kepala mereka. Pelbagai âfesyenâ dapat dilihat.
Kewajipan memakai jilbab ini ditegaskan melalui firman Allah: Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka menutupi jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Al-Ahzab: 59)
Sesungguhnya memakai jilbab bukan sahaja menunjukkan dengan jelas identiti seseorang wanita muslim tetapi juga mampu memelihara mereka daripada tatapan mata liar sehingga mereka tidak diganggu sekali gus memastikan kesucian mereka terpelihara.
Namun dalam keghairahan kaum wanita Islam memakai jilbab mereka juga harus memahami bahawa jilbab bukan sekadar pakaian menutup tubuh sahaja. Mereka juga harus memastikan ia benar-benar mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Islam.
Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani dalam kitabnya, Jilbab Al-Mar'ah Al-Muslimah menyebutkan lapan syarat jilbab syarie iaitu:

- Menutup seluruh tubuh, kecuali muka dan telapak tangan.
- Bukan untuk tabarruj (bersolek) yang boleh menyebabkan pandangan mata tertuju kepadanya.
- Bahannya diperbuat daripada kain yang tebal dan tidak nipis.
- Kainnya longgar, tidak ketat dan tidak membentuk lekuk tubuh.
- Tidak diberi memakai minyak wangi seperti mana peringatan Rasulullah s.a.w.: Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan kemudian berjalan di hadapan orang ramai dan mereka menghidu baunya, maka dia adalah penzina.
- Tidak menyerupai pakaian lelaki.
- Tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir.
- Bukan memakainya kerana untuk mencari populariti. Ia sesuai dengan peringatan Rasululullah melalui sabdanya: Barang siapa mengenakan pakaian untuk mencari populariti di dunia, nescaya Allah akan memakainya dengan pakaian kehinaan pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka.

Hakikatnya, mungkin ramai di antara kaum wanita muslim menganggap ia syarat yang agak berat apatah lagi kepada mereka yang ternyata sudah memakai jilbab tetapi melanggar syarat-syarat di atas.
Sesungguhnya, jika seseorang wanita itu berhasrat menjadi seorang muslimah syarat berkenaan tidaklah begitu sukar kerana dalam pelaksanaan syariat Islam tidak ada perkara yang sukar sebagai mana firman Allah: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.

(Al-Baqarah: 185)
Atas sebab itu dalam soal menutup aurat ini, Rasulullah dengan tegas mengingatkan bahawa, Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan melentuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.
Oleh itu, sekadar bertudung semata-mata kerana kehendak semasa bukan kerana kesedaran atas tanggungjawab sebagai seorang muslimah, masih belum mencukupi.
Kita tidak berhasrat mempertikaikan niat seseorang wanita yang memakai tudung tetapi sekadar ingin mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab untuk menjadi muslimah sejati adalah satu perkara yang wajib dan amanah yang perlu dilaksanakan.
Bertudung tetapi melakukan banyak perkara yang dilarang Allah sudah pasti tidak bermakna.

Cubalah lihat sekeliling kita bagaimana sesetengah mereka yang berpakaian sedemikian tetapi tidak mencerminkan keperibadian muslimah sebenar.
Lintang pukang
Oleh itu apabila seseorang wanita Islam membuat keputusan memakai tudung atau berjilbab ia harus memastikan ia bukanlah sekadar satu hiasan lahiriah semata-mata.
Ia hakikatnya satu langkah ke arah untuk mewujudkan jati diri sebenarnya mereka sebagai muslimah. Janganlah sekadar memakai jilbab kalau solat dan ibadat lain masih âlintang pukangâ.

Malahan mereka juga perlu membuang sifat-sifat tidak elok seperti meninggikan suara, mengumpat, mencampuri urusan peribadi orang lain dan suka melakukan perkara-perkara maksiat.
Inilah keadaan yang berlaku di sekeliling kita sekarang. Kita melihat ramai wanita Islam yang berjilbab tetapi sejauh manakah mereka memikirkan bahawa bertudung itu tidak semestinya menutup aurat.

Maksudnya, kepala sahaja bertudung tetapi mereka masih melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam sama ada dari segi perbuatan dan tata cara berpakaian.
Allah menetapkan peraturan dalam soal menutup aurat dan mereka yang terlibat tidak harus mengatakan bahawa adalah hak mereka untuk menentukan haluan kehidupan mereka.
Kenyataan seumpama ini bertentangan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

(Al-Ahzab: 36)
Justeru selagi masa masih ada dan di saat Allah masih memberi kesempatan kepada kita untuk membentuk diri menjadi muslimah sejati maka rebutlah kesempatan yang suntuk ini.
Janganlah menganggap bahawa masa sentiasa ada untuk kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Ingatlah kematian yang menjemput manusia tidak mengira umur, masa dan ketika.

- Oleh ZULKIFLEE BAKAR/belalang

0 comments:

Post a Comment

 
 
 
Orkes Gambos Penambang Muar 01 S Radziah -...

This mp3 found @ weblagu.com
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright © Permata Wangi