Kapal Korek Akan Pupus Dalam Tempoh 6 Bulan Lagi

Sunday, November 8, 2009


SATU-SATUNYA kapal pengorek timah di negara kita mungkin pupus dalam tempoh enam bulan sahaja. Ia terletak di Tanjung Tualang, kira-kira 60 km dari Ipoh.

Ia mungkin pupus sekiranya dana tidak ada untuk memperbaiki pontun (platform terapung) pada kapal pengorek timah itu.

 

Kapal itu yang dikenali sebagai 'T.T. No 5' telah senget 18 peratus ke arah air di sebelah kanan bahagian bawahnya.

Steven Ng, pengurus Osborne & Chappel Sdn Bhd (OCSB), berkata kecondongan itu berlaku pada November tahun lalu.

OCSB bertanggungjawab menguruskan kapal tersebut sebagai salah satu tarikan pelancongan.

"Bil elektrik untuk dua pam yang mengepam air keluar sudah mencecah RM1,800 sebulan sejak Disember.

"Sekiranya tiada usaha memperbaiki pontun yang menyokong pengorek timah itu, ia akan sekali gus tenggelam," kata Ng dalam satu temuramah.

Ng berkata negara ini akan kehilangan satu tarikan pelancong bahkan warisan sekiranya tiada usaha memulihara T.T. No 5.


"Orang ramai juga berkemungkinan tidak berpeluang untuk melawat pengorek itu dan mempelajari sejarah Lembah Kinta.

"Lebih-lebih lagi, Lembah Kinta pernah menjadi daerah paling kaya dengan bijih timah di seluruh dunia pada suatu ketika," katanya.

Semasa zaman kegemilangan pelombongan timah di Perak, Ng berkata, terdapat 40 kapal pengorek timah yang beroperasi di Chemor, Ipoh, Gopeng, Batu Gajah, Papan, Tronoh dan Malim Nawar.

T.T. No 5 dibina pada 1938 oleh W.F. Payne & Sons untuk Pernas Chartered Management Sdn Bhd.

Pernah dimiliki Southern Malayan Tin Dredging (M) Sdn Bhd, kapal pengorek timah itu telah beroperasi mengorek timah di Lembah Kelang selama 44 tahun.

Ia berhenti beroperasi pada 1983 ekoran kejatuhan industri pelombongan timah.



Orang ramai berpeluang melawat kapal itu sejak 1 Januari lalu selepas kerajaan negeri Perak membelanjakan lebih setengah juta ringgit untuk membangunkannya menjadi satu daya tarikan.

Ng mendakwa pengorek itu tidak mendapat sokongan promosi daripada Lembaga Pelancongan Malaysia.

"Kami perlu membuat segala usaha promosi dengan inisiatif tersendiri. Kami mempunyai kira-kira 500 pelawat pada musim cuti sekolah pada bulan November dan Disember.

"Bagi lain-lain bulan, kami hanya mempunyai kira-kira 50 pelawat," katanya.

Untuk bayaran masuk, sebanyak RM5 dikenakan untuk orang dewasa manakala kanak-kanak, RM3. Bayaran masuk itu termasuk persembahan dan lawatan yang berpandukan pemandu pelancongan.

Kata Ng, lawatan sekarang dihadkan di bahagian bawah dek kapal atas faktor keselamatan.

"Kami berharap kerajaan negeri akan mengambil alih pengurusan warisan negeri itu (T. T. No 5).

"Ia akan memberikan imej yang negatif kepada negeri Perak sekiranya tragedi berlaku ketika melawat kapal pengorek timah tersebut," katanya.

Ng juga merayu bekas pelombong-pelombong timah agar tampil untuk menyelamatkan kapal tersebut terus pupus ditelan masa.

Katanya, syarikat itu merancang untuk membina satu replika palung untuk menggambarkan bagaimana pelombongan timah dilaksanakan.

Palung ialah sejenis saluran panjang yang berpetak-petak tempat mengasingkan bijih daripada batu-batu dan lain-lain.

Ng memberitahu Osborne & Chappel telah menghantarkan satu kertas cadangan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memperbaiki pontun dan membiayai kerja-kerja penyelenggaraan yang bernilai RM360,000.

- Oleh FOONG THIM LENG/mstar

0 comments:

Post a Comment

 
 
 
Orkes Gambos Penambang Muar 01 S Radziah -...

This mp3 found @ weblagu.com
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright © Permata Wangi