tuntut RM1 juta kerana putus tunang

Thursday, December 10, 2009

Gara-gara putus tunang, seorang pengarah urusan sebuah syarikat komunikasi dan teknologi maklumat mengemukakan permohonan
di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menuntut ganti rugi hampir RM1 juta daripada seorang wanita yang memutuskan pertunangan mereka pada April tahun lepas.


Mohamad Fahizul Khairi, 53, yang berasal dari Bandar Utama, Petaling Jaya, diwakili peguam Azmi Rais, sementara bekas tunangnya iaitu defendan Nor Daliya Mohd Daud, 34, seorang pegawai bank, diwakili peguam Mohamad Isa Abd Ralip.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Fahizul antara lain mendakwa mereka telah mengikat tali pertunangan pada 6 Dis 2007 setelah tempoh edah Nor Daliya yang telah bercerai dengan bekas suaminya berakhir.

Mohamad Fahizul mendakwa defendan telah memohon agar beliau membeli dan menyediakan sebuah rumah bagi tujuan tempat tinggal mereka selepas berumahtangga nanti dan defendan seterusnya meminta beliau agar menceraikan isterinya.

Plaintif mendakwa atas permintaan itu, beliau pada 3 April 2007 membiayai pembelian sebuah rumah jenis teres Link House dua setengah tingkat yang beralamat di Bandar Utama atas nama Nor Daliya bertujuan untuk dijadikan tempat tinggal plaintif, defendan dan juga dua anak defendan (anak dengan bekas suami).

Mohamad Fahizul turut mendakwa atas desakan Nor Daliya juga, beliau telah melafazkan cerai terhadap isterinya pada 7 April tahun lepas tetapi kemudian mereka telah merujuk semula dalam tempoh edah.

Seterusnya plaintif mendakwa, atas permintaan defendan beliau telah membayar dan memasukkan beberapa jumlah wang kepada defendan atas kepercayaan mereka akan mendirikan rumahtangga tidak lama lagi dan bayaran-bayaran itu termasuk kos pengubahsuaian serta barangan rumah, kos agen hartanah, bayaran muka pembelian kereta baru jenis Honda Civic milik defendan dan bayaran lain ke dalam akaun milik defendan.

Mohamad Fahizul mendakwa mereka telah mengikat tali pertunangan pada 6 Dis 2007 di Pekan, Pahang dan sepanjang tempoh pertunangan bersama defendan, plaintif mendakwa telah berlaku perselisihan faham dan pergaduhan berpunca daripada sikap defendan yang didakwa curang terhadap plaintif serta melakukan perbuatan tidak bermoral dalam beberapa peristiwa.

Seterusnya pada 21 April tahun lepas, Mohamad Fahizul mendakwa Nor Daliya telah bersetuju untuk memutuskan pertunangan setelah perbincangan dilakukan di mana kedua-dua pihak bersetuju memulangkan segala pemberian yang berkaitan dengan pertunangan itu termasuklah rumah berkenaan tetapi sehingga kini defendan masih gagal berbuat demikian.

Mohamad Fahizul mendakwa ikatan pertunangan yang terputus dan tindakan defendan yang enggan memulangkan wang sumbangan beliau telah mendatangkan kerugian, kemudaratan serta keaiban kepadanya serta menyebabkan beliau mengalami masalah dengan ramai ahli keluarga beliau termasuk isterinya.

Justeru, plaintif menuntut defendan membayar ganti rugi kewangan akibat putus tunang sebanyak RM871,186.57, ganti rugi keaiban sebanyak RM100,000 selari dengan Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 selain meminta defendan melepaskan hasil jualan rumah itu kepada beliau, kos guaman dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun pada 8 Julai lepas, Nor Daliya memfailkan bantahan awal terhadap permohonan Mohamad Fahizul dengan alasan antaranya, segala wang dan hadiah pemberian plaintif diberikan kepadanya sebelum mereka bertunang iaitu semasa proses "pikat-memikat".

Dalam prosiding hari ini, hakim syarie Mohammad Adib Husain memberi tempoh selewat-lewatnya 31 Dis ini untuk pihak plaintif mengemukakan hujahan balas berhubung bantahan awal itu dan menetapkan 1 Feb depan untuk membuat keputusan mengenai permohonan tersebut (bantahan awal). BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
 
Orkes Gambos Penambang Muar 01 S Radziah -...

This mp3 found @ weblagu.com
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright © Permata Wangi